RSS : Articles / Comments


Hayati al-Quran hindari permusuhan....

3:21 AM, Posted by Yuswani Effendy bin Yusof, 50 Comments

Oleh : Mohd Shubihi Zain

SUNGAI PETANI, 18 Mei: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengajak seluruh umat Islam untuk berusaha dan kembali menghayati al-Quran yang mampu menghindarkan masyarakat daripada perbalahan dan permusuhan sesama sendiri.

Ustaz Azizan berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2010M / 1431H di Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, dekat sini, malam tadi.

Menurutnya, umat Islam hendaklah menghayati ajaran di dalam al-Quran dan menjadikannya sebagai budaya di dalam kehidupan yang akan menghindari masyarakat dari sifat-sifat mazmumah.

"Sifat-sifat mazmumah ini adalah di antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan perbalahan, kebencian, permusuhan yang akhirnya meragut kesejahteraan masyarakat.

"Al-Quran mengajar kita nilai-nilai murni sebagai seorang insan yang mulia di sisi Allah, al-Quran juga mengajar kita agar saling hormat-menghormati, dan mengajar kita mengingati tentang kehidupan di dunia dan akhirat serta ganjaran-ganjaran Allah, terpulanglah kepada kita untuk memilihnya," katanya.

Beliau turut menggesa umat Islam supaya menggandakan usaha yang berterusan bagi meninggikan syiar Islam serta menarik perhatian ke arah mendekatkan diri dan beramal dengan ajaran al-Quran.

"Al-Quran merupakan mukjizat Allah SWT yang paling agung yang dikurniakan kepada makhluk di muka bumi ini sebagai penyuluh ke jalan yang lurus dan benar, usaha meninggikan syiar Islam dan beramal dengan ajaran al-Quran hendaklah sentiasa berterusan.

"Sebagai umat Islam, usaha memartabatkan al-Quran adalah menjadi tanggungjawab kita kerana dengan membaca pun sudah dikira ibadah yang tidak terhingga nilai di sisi Allah, apatah lagi dengan menjaga dan memelihara al-Quran yang merupakan kemestian dan wajib dilaksanakan," katanya.

Menurutnya lagi, umat Islam juga perlu melengkapi diri dengan sifat mulia dan membentuk peribadi tinggi dengan mengaplikasikan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

"Setiap orang perlulah mempraktikkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian bermula dari membuka mata iaitu ketika bangun dari tidur di waktu pagi sehinggalah menutup mata tidur di waktu malam.

"Ini kerana setiap pergerakan kita yang betul dan teratur akan mendapat ganjaran pahala dan sekiranya berlaku sebaliknya akan mendapat dosa dan balasan dari Allah SWT," katanya.